|
Tapi aku tahu keluhan aku bunyinya kedengaran sama dengan keluhan orang-orang lain di luar sana. Bekerja untuk membayar segala hutang piutang. Yang tinggal untuk makan tidaklah seberapa. Pagi ini, sewaktu berjalan ke tempat kerja, aku nampak dua orang lelaki, tidak pasti kerakyatannya, menaiki basikal. Si pembonceng memegang baldi. Barangkali tukang cuci. Aku rasa bersalah. Aku kira aku tidak bersyukur. Aku lupa, ada orang berhijrah ribuan batu mencari rezeki dan berpisah dengan keluarga. Aku lupa yang aku pernah menjadi tukang cuci suatu masa dulu di tempat orang. Hampir menangis di hari pertama bekerja dek kerana tidak biasa. Aku lupa, yang aku masih ada pekerjaan dibanding dengan ribuan graduan di luar sana yang terpaksa berpuas hati dengan apa sahaja kerja. Aku lupa, hutang yang aku bayar setiap bulan itu adalah untuk memastikan aku dapat bergerak ke mana-mana dan tidur tidak berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Aku lupa, apa yang aku ada sekarang, walaupun tidak mewah, masih cukup untuk memenuhi kehendakku yang sederhana. Aku lupa, ada orang di luar sana yang makan siput babi, hidup lebih daif dan merana. Aku lupa, bapak aku menyara hidup dan pelajaran aku dengan gaji yang tidak seberapa tapi tidak pernah sekali keluar keluhan dari mulutnya. Aku lupa, lupa dan lupa. Aku mahu ingat itu semua. Cuma aku mahu lupakan seketika, melihat kereta mewah menjalar sini sana. Aku mahu lupakan seketika melihat rumah banglo tersergam megah nun atas bukit sana. Aku seharusnya membandingkan apa yang aku ada dengan orang yang tidak ada dan bukannya membandingkan apa yang aku tak ada dengan orang yang serba ada. Mungkin itu dapat menjadikan aku lebih bersyukur, menyedari ada orang yang lebih buruk nasibnya. |
| hyz August 7, 2005 02:04 AM PDT ermm.. jadikan perbandingan itu untuk menjadi yg lebih baik dan bersyukurlah atas ape yg diberi setelah berusaha. | ||
| huneydew August 5, 2005 07:56 PM PDT tul la kakak, sbb tu org kata, nak banding kena tgk org bawah kita, bukan tgk org atas kita. | ||
| armicelli August 5, 2005 04:59 PM PDT kita baca entri awk...kita rasa touch laa awk..betul kata awk, kita patut membandingkan dgn org yg tdk ada bukan dgn org yg serba ada... alhamdullilah... | ||
| Leave a Comment: |