Tiap kali cukup bulan, aku mengeluh.
Tapi aku tahu keluhan aku bunyinya kedengaran sama
dengan keluhan orang-orang lain di luar sana.
Bekerja untuk membayar segala hutang piutang.
Yang tinggal untuk makan tidaklah seberapa.
Pagi ini, sewaktu berjalan ke tempat kerja,
aku nampak dua orang lelaki, tidak pasti kerakyatannya,
menaiki basikal. Si pembonceng memegang baldi.
Barangkali tukang cuci.
Aku rasa bersalah. Aku kira aku tidak bersyukur.
Aku lupa, ada orang berhijrah ribuan batu mencari rezeki
dan berpisah dengan keluarga.
Aku lupa yang aku pernah menjadi tukang cuci suatu masa
dulu di tempat orang. Hampir menangis di hari pertama
bekerja dek kerana tidak biasa.
Aku lupa, yang aku masih ada pekerjaan dibanding dengan
ribuan graduan di luar sana yang terpaksa berpuas hati
dengan apa sahaja kerja.
Aku lupa, hutang yang aku bayar setiap bulan itu
adalah untuk memastikan aku dapat bergerak ke mana-mana
dan tidur tidak berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit.
Aku lupa, apa yang aku ada sekarang, walaupun tidak mewah,
masih cukup untuk memenuhi kehendakku yang sederhana.
Aku lupa, ada orang di luar sana yang makan siput babi,
hidup lebih daif dan merana.
Aku lupa, bapak aku menyara hidup dan pelajaran aku
dengan gaji yang tidak seberapa tapi tidak pernah
sekali keluar keluhan dari mulutnya.
Aku lupa, lupa dan lupa.
Aku mahu ingat itu semua.
Cuma aku mahu lupakan seketika,
melihat kereta mewah menjalar sini sana.
Aku mahu lupakan seketika
melihat rumah banglo tersergam megah nun atas bukit sana.
Aku seharusnya membandingkan apa yang aku ada
dengan orang yang tidak ada
dan bukannya membandingkan apa yang aku tak ada
dengan orang yang serba ada.
Mungkin itu dapat menjadikan aku lebih bersyukur,
menyedari ada orang yang lebih buruk nasibnya.